Assalamualaikum
Alhamdulillah ini adalah hari yang ke 208 aku bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah IPTA dan 225 hari setelah aku bergraduasi. 200++ hari bagi aku ibarat pejam celik pejam celik je, tetapi banyak sangat benda/perkara yang aku telah pelajari dan banyak lagi yang belum aku tempuhi. Yang pasti, bekerja di IPTA ini bukanlah kerja pertamaku, ianya kerja kedua yang ditawarkan kepadaku selepas bergraduasi. Dan sudah tentulah aku pernah melakukan kerja-kerja sambilan lain ketika belajar demi mencari sesuap nasi.
Baiklah..apa yang ingin aku kongsikan hari ini adalah bagaimana untuk menghadapi suasana kerja di tempat baru. Saya yakin jika anda ditanya dalam sesi temuduga;
"Apakah kelebihan yang ada pada diri anda?"
mungkin ada yang menjawab seperti saya;
"Saya seorang yang cepat belajar dan mudah menyesuaikan diri dengan situasi baru."
Ya. Kebiasaanya dalam temuduga kita lebih yakin daripada biasa tetapi jujur aku katakan realiti alam kerja tidak seindah drama yang ditayangkan di kaca televisyen. Realitinya kita bukan sahaja menguruskan kerja sahaja namun harus menguruskan diri, rakan sekerja dan tempat kerja.
Maka disaat anda mula melaporkan diri untuk kerja anda;
1. Bina hubungan yang baik dengan rakan sekerja bermula dari pekerja am, staff pejabat, rakan sejawatan, pegawai atasan dan juga bos anda. Hari pertama, beri salam, perkenalkan diri dan berkenalan juga dengan orang lain. Hadiahkan senyuman dan jika mereka mengajak anda makan bersama, katakan ya.
Aku akui pada mulanya ada staff lama yang tidak cam aku sebagai pekerja baru, kerana terlalu ramai staff disini dan aku hanya senyum sahaja kepada mereka. Kemudian didalam bilik mesyuarat barulah mereka perasan kehadiranku, maka aku gunakan kesempatan di dalam mesyuarat itu untuk berkenalan dengan seramai mungkin staff. Ingat nama, ingat muka dan ingat jawatan mereka.
2. Peka dengan keadaan sekeliling. Lakukan banyak pemerhatian. Ya untuk peringkat awal, banyak benda yang anda tidak tahu tetapi jangan terus bertanyakan soalan yang bodoh. Dan jangan expect anda akan diajar dari A sampai Z mengenai mengenai kerja anda.
Apa yang anda perlu lakukan adalah, Banyakkan menuntut ilmu asas seperti penggunaan microsoft office, cara menggunakan mesin fotostat, cara untuk email kepada client dan sebagainya, anda juga perlu membaca isu semasa dan buat kajian mengenai sistem kerja di tempat anda. Andaikata anda benar-benar tidak tahu, maka jangan malu, sila bertanyakan kepada rakan sekerja dan minta tolong mereka ajar anda. (jangan terus tanya kepada bos!)
Ingat! jika anda adalah lulusan universiti/kolej, anda adalah wakil/duta kepada institusi tersebut. Anda membawa nama institusi tersebut sehingga ke tempat kerja.
3. Disiplin. Tidak perlu datang lebih awal dari orang lain, tetapi memadai lah jika kad anda tidak pernah merah. Pakaian juga begitu, jangan terlebih mewah atau terlebih selekeh. Beli sahaja pakaian yang orang kata just nice. Kekalkan momentum disiplin anda dan jangan terikut-ikut perangai senior yang boleh membawa pandangan buruk pekerja lain.
4. Elakkan menyertai kumpulan-kumpulan tertentu spt gosip atau berpuak-puak/bergeng. Haa.. ini masalah yang sering berlaku. Kononnya ada group whatsapp ini dan itu. Bila time ada function, geng ini pakat nak duduk bersama, tak nak duduk dengan staff lain. Ahh kamon.
Aku sendiri dinasihati oleh bos pada taklimat di hari pertama melapor diri. "anda bebas berkawan dengan semua orang tetapi jangan jadi seperti mereka (ikut perangai mereka)". Memang ada yang berpuak-puak ni, dan ada juga yang bermasam muka untuk jangka masa lama. Ada senior yang cerita kepada ku kisah-kisah bermasam muka antara staff, namun aku tebalkan telinga dan berkawan sahaja dengan semua tanpa ku ambil peduli sejarah hitam mereka. Pesan aku, pandai-pandailah jaga diri. Kawal mulut jangan bercakap perkara menyakitkan hati orang lain.
Sebenarnya dalam situasi ini, aku sendiri tidak menyangka masih ada rakan sekerja yang bermasam muka. Pada aku sebagai orang yang kononnya sudah menginjak dewasa, perasaan benci sesama insan sepatutnya sudah lama dileburkan bersama-sama alam remaja yang telah pergi. Hipotesis: 'semakin meningkat dewasa semakin kita lebih matang' sewajarnya adalah hipotesis yang tepat namun siapalah kita untuk mengawal hati manusia. Hanya Allah yang mampu mengubah hati manusia dari sekeras-keras berlian sehingga selembut-lembut talkum (talc). bukan halkum ye.
5. Jujur dan jadi diri anda sendiri. Jika anda tidak tahu sesuatu perkara tetapi di suruh juga untuk melaksanakannya, maka jangan terlalu yakin bahawa anda boleh melakukannya tetapi katakan bahawa ini merupakan tugasan yang pertama kali anda lakukan dan anda akan lakukan sebaik mungkin. Ketika ini proses belajar berlaku, anda akan berjumpa ramai orang dan banyak perkara yang anda tidak pernah tahu akan jadi tahu.
Usah berpura-pura kononya anda sehebat diva. Sehebat mana pun phd anda, anda tetap pekerja baru yang masih zero. Maka jadilah diri anda sendiri dan usah berbangga dengan pangkat, harta dan nama anda. Be humble okay!
6. Permudahkan kerja orang lain, kerja anda juga akan jadi mudah. Jika diberi tugasan, sila siapkan mengikut masa yang diberikan. Ini kerana kerja yang anda lakukan mempengaruhi kerja rakan-rakan lain. Jika anda lewat, ia akan menganggu gerak kerja lain. Jadi, jangan selfish!
That's all for today.
Aku pasti banyak lagi tips yang ada terutama dari sisi pandangan mereka yang lebih berpengalaman. Namun cukup ini sahaja buat masa ini kerana aku juga ada amanah lain yang perlu diselesaikan.
Selamat menghadapi hari pertama bekerja!
Jadilah pekerja yang penuh amanah dan integriti.
Pekerjaan yang halal adalah satu ibadah.
No comments:
Post a Comment