Monday, 20 June 2016

Dalam Dakapan CintaMu Episod 2: Pandangan Pertama


***

Dewan besar yang tadi hingar semakin sunyi saat ketibaan pengetua diumumkan oleh pengacara majlis yang juga pengawas bertugas pada hari ini.  Para pelajar kembali beratur dalam barisan yang tersusun dan mengikut kelas. Sekolah ini pelajarnya tidak ramai. Setiap tingkatan mempunyai dua kelas sahaja. Alpha dan Beta. Ini kerana sekolah ini masih baru ditubuhkan dan terletak pula di kawasan kampung, jauh dari kebebasan kota.

Firdaus masih ingat, saat bapanya menyuarakan hasrat untuk mendaftarkannya di sekolah ini, sudah puas dia memberontak. Manakan tidak, rakan-rakan nya bersekolah berdekatan dengan rumah, manakala dirinya dihantar jauh beratus kilometer dari rumah seawal usianya 13 tahun. Perit. Susah baginya yang terbiasa manja untuk berdikari sendiri jauh dari keluarga.

Kali pertama dia bertemu Badrul adalah ketika taklimat pelajar asrama lelaki bersama warden asrama pada malam harinya. Kebetulan ketika itu seliparnya tertukar sebelah selepas keluar dari masjid tadi. Selipar yang sama bentuk dan corak, namun berbeza saiz. Sehingga dia terpandang sesuatu..

"Assalamualaikum..saya Firdaus. Duduk kat bilik B1-09. Awak?"

"Waalaikumsalam. Aku Badrul Hakim. dari bilik B3-05."

"Hmm tumpang tanya..itu selipar awakkah?"

"Dah aku tengah pakai, selipar aku lah. Kau dah kenapa?"

"Saya rasa kita dah tertukar selipar tadi kat masjid. Selipar awak macam tak sama saiz."

"Eh kau dah kenapa? ini selipar aku lah!" Bad rasa tercabar.

Suara lantang Bad mengejutkan para pelajar dan warden di hadapan

"dua pelajar yang dibelakang tu, sila kehadapan sekarang!... Saya sedang beri taklimat, kamu boleh bersembang di belakang pula!" ustaz Asyraf yang baru dilantik menjadi ketua warden sekolah itu sudah mula menyinga.

***

Usai majlis perhimpunan berakhir, pengacara majlis memberi pengumuman supaya semua pelajar untuk tunggu sebentar di dewan. 'Pasti ada pengumuman penting' itu tekaan rambang ramai pelajar. Mereka tidak sabar untuk menunggu pengumuman tersebut.

Sakeenah yang beratur di barisan hadapan sekali bagi barisan kelas tingkatan 3 Alpha kian tidak senang duduk apabila hanya cikgu Nuha dan ustaz Asyraf berada dia atas pentas sambil membincangkan sesuatu. Manakala guru-guru lain sudah bergerak menuju ke bilik guru dan kelas masing-masng.

'aku rasa macam tak sedap hati.' Keno mengeluh. Dipalingkan wajahnya ke belakang mencari wajah Hasina dan Faezah. Almaklumlah mereka berdua mempunyai ketinggian standard, maka mereka berdiri di barisan belakang. Eja tersengih apabila memandangnya kembali. 

Cikgu Nuha mengeluarkan mikrofon dari 'stand'nya.

"Pada hari jumaat minggu lepas, saya telah membuat pemeriksaan mengejut di asrama puteri, dan berjaya menangkap beberapa orang pelajar yang ponteng kelas prep petang. Nama-nama pelajar perempuan yang saya sebut, sila keluar dari barisan dan beratur di hadapan dengan segera." tegas suara guru wanita yang berumur dalam lingkungan 30-an itu. Wajahnya yang asalnya manis kini berubah dengan beribu kerutan.

Satu persatu nama disebut sehingga ke nama terakhir "Sakeenah binti Omar, tingkatan 3 Alpha."

Keno sudah agak ini akan terjadi. Pada petang hari kejadian, dia terlajak tidur sehingga pukul 4.00 petang. Hujan sudah kian reda, hanya tinggal rintik-rintik sahaja. Dengan cepat Keno bergerak ke bilik air untuk mengambil wudhu'. Solat zohor masih belum ditunaikan. Kelas prep? Ah alang-alang berbaki lagi 1 jam, ponteng sahajalah.

Usai keluar dari bilik air, Keno terlihat cikgu Nuha yang sedang mundar mandir di blok sebelah. 'mampus! tak guna! habislah kantoi!' Keno cuba untuk menyorok dengan berjalan menunduk. Malangnya cikgu Nuha sudah perasan akan dirinya.

"Pelajar-pelajar yang masih berada di dalam bilik sila turun sekarang! saya bagi tempoh 10 saat, jika tidak saya akan terjah dari bilik ke bilik!"

Keno masih lagi mencangkung di kaki lima sedang berfikir samaada mahu menyerah diri sahaja atau terus menyorok. Beberapa pelajar sudah berkumpul di bawah. 'satu..dua..tiga...eh ramai jugak yang ponteng kelas prep macam aku rupanya.' Keno hampir ingin ketawa apabila melihat satu-satu pelajar yang turun menyerah diri melalui celah-celah lubang dinding. Namun akalnya perlu cepat membuat keputusan. Jika dia memilih untuk terus menyorok...ahh ianya seakan usaha yang sia-sia apabila namanya dijerit cikgu Nuha dari bawah.

"Sakeenah! saya dah nampak kamu tadi. turun bawah sekarang jugak!"

Keno memandang kembali wajah cikgu Nuha diatas pentas dengan geram. 'si Nuha ni hari tu dah denda aku buat 100 karangan sebab tak siap kerja, hari ni nak bagi denda apa pulak?.' Dia berjalan perlahan-lahan ke arah barisan seramai 12 orang itu. 

Kemudian ustaz Asyraf pula mengambil alih mikrofon dari cikgu Nuha.

"Baiklah ini pula adalah senarai nama pelajar yang lewat ke masjid untuk solat jumaat. Saya beri amaran kali terakhir, pelajar lelaki perlu mengosongkan asrama sebelum azan kedua berkumandang. " Ustaz Asyraf menyebut beberapa nama pelajar lelaki seramai hampir 20 orang. Kebanyakannya pelajar dari tingkatan 3 hingga 5. 'Almaklumlah pelajar tingkatan 1 dan 2 masih belum tumbuh tanduk lagi.' bisik hati Keno.

Ustaz menyambung lagi. "Saya mahu barisan pelajar lelaki di hadapan ini, bergerak ke hadapan barisan pelajar perempuan dan begitu sebaliknya." 20 orang pelajar lelaki yang 'lewat ke masjid ' bergerak dalam barisan dan beratur dihadapan barisan pelajar-pelajar perempuan yang sudah tentunya tertunduk malu melihat mereka.

"Pelajar perempuan yang dihujung tu, ha kamu Sakeena. bergerak ke sana, beratur di hadapan barisan pelajar-pelajar lelaki." Ustaz mengarah Keno bergerak mengetuai 12 pelajar perempuan yang ponteng kelas prep.

Dengan muka pasrahnya, Keno mulai bergerak dan berhenti di barisan hujung sekali. 'Rasanya aku akan menghadap barisan pelajar lelaki senior tingkatan 5 Beta.' Pada mulanya Keno berasa sangat malu untuk mengangkat muka namun setelah difikir bahawa ini lah salah satu balasan terhadap kesalahannya, lalu dia akur. Apa sahaja denda yang akan dikenakan, dia akan hadapi. Berani buat, berani tanggung. 

Apabila wajahnya diangkat menghadap kehadapan, seperti yang dijangka pelajar-pelajar lelaki sedang tersengih dan menahan ketawa mengejek mereka. Yang paling menjengkelkan sudah tentulah pelajar lelaki yang betul-betul dihadapannya ini. 'Dari tadi asyik pandang-pandang aku dah kenapa? tak pernah tengok aku kena denda kat perhimpunan ke? yang peliknya kau tu dahlah tinggi, kenapa beratur kat depan sekali? Ah pergi mampus!'

"Sebagai denda, saya mahu kamu semua ketuk ketampi sebanyak 10 kali bagi pelajar perempuan, dan 20 kali bagi pelajar lelaki." kata-kata ustaz Asyraf itu begitu terkesan di hati Keno. Hati nya begitu membara seolah-olah mahu mencalarkan sahaja kereta Mazda biru selepas waktu sekolah nanti.

***

"Bad, nasib baik kau sempat datang awal masjid hari tu. kalau tak dah kena panggil ke depan tadi. Aku baru nak tengok muka macho kau kena ketuk ketampi depan pelajar perempuan hari ni." Pod berbisik di telinga Bad. Risau jika ustaz di hadapan mendengar mereka bersembang.

"come on, ni Bad lah. Dari jauh aku boleh dengar enjin buruk Mazda biru tu. Apa lagi aku terus cabut ikut pintu belakang, nasib tak bertembung dengan ustaz." ujar Bad seraya terdiam apabila terpandang seseorang. "Pod, siapa budak perempuan pendek tu?"

"Owh tu budak form 3. Oi kau nak pergi mana?" Pod belum sempat menghabiskan ayatnya, Bad sudah bergerak ke hadapan. Pantas.

'Pod, aku nak pergi beratur kat depan sekali, kau rilek je kat situ eh.' seolah-olah itu yang ingin disampaikan oleh Bad apabila dia berpaling memandang sahabat yang ditinggalkan di belakang.

"Mat, bagi aku berdiri kat depan ni. kau pergi belakang sebab Pod ada benda nak cakap dengan kau." Bad mengambil alih tempat Mat berdiri. Mat yang sememangnya lurus bendul itu bergerak ke belakang mencari Pod.

Bad berdiri sambil berpeluk tubuh, Matanya tak lepas memandang budak form 3 di hadapannya. 'Kau ni nak buat jahat tak pandai, kan dah kantoi. Padan muka.' bisik hati nakal Bad. Pada mulanya budak form 3 tu hanya memandang ke lantai namun apabila dia mengangkat muka, pandangan mereka bertamu. Bad sangka budak ini pasti akan terjatuh hati melihat kekacakan dirinya namun ianya seakan meleset apabila dengan selamba budak itu membuat muka 'kau apa hal?' kepadanya.

Menjengkelkan. Budak ni memang nak kena. Baru form 3 dah berlagak dengan aku. Dahlah pendek, tak comel pulak tu. Dia belum kenal lagi siapa Bad.

"Baiklah, kepada pelajar-pelajar lain, saya mahu kamu sama-sama membuat kiraan saat rakan-rakan kamu ini ketuk ketampi." suara ustaz memecah suasana hingar di dalam dewan. 

***
'9.1.....9.2....9.3....9.9 ....10... hahahahaha' hilaian ketawa itu masih lagi terngiang-ngiang di telinga Keno. Dan pemilik wajah itu memang sengaja mahu mencari pasal dengannya kali ini.


Nota kaki: Maaf jika pengunaan bahasa agak berterabur. Aku budak baru belajar. Dan aku harap kau faham dengan bayangan situasi yang aku berikan. Atau aku sorang je yang faham. Kahhh

No comments: