Sunday, 19 June 2016

Dalam Dakapan CintaMu Episod 1: Mimpi indah

Dalam Dakapan CintaMu oleh Miss L

***

Pandangannya hampir kelam. Matanya tidak dapat ditahan lagi. Dia merebahkan badannya di atas tilam yang sudah terasa springnya itu. Ahh tilam kerajaan itu sudah hampir 5 tahun lamanya. Tidak jauh beza dengan usia sekolah ini.

Baju sekolah masih lengkap meliputi tubuhnya. Dari tudung sampai ke stokin bewarna putih. beg sekolah tersadai di atas lantai, berhadapan almari disebelah katil.

Anak patung beruang yang menjadi pelukannya saban malam di letakkan di atas mukanya untuk menghalang cahaya matahari luar menggangu tidurnya.

"oii Keno, kalau ye pun nak tidur, salin lah dulu baju tu. kejap lagi nak pergi kelas prep petang. habis kedut baju kau nanti." seorang gadis yang berpakaian sepertinya masuk ke dalam dorm yang hanya menempatkan 4 orang pelajar. Katilnya bersebelahan dengan katil Keno, gadis yang sedang terbaring itu.

"............." tiada jawapan mahupun reaksi yang diberikan oleh Keno atau nama penuhnya Sakeenah binti Omar.

"kau ni bab tidur laju je. lagi-lagi lepas makan, time tengahari jumaat macam ni." Hasina (Sina) menanggalkan tudung dan menggantungnya di penyangkut baju. Almari dibuka untuk mengambil baju tee lengan panjang bewarna putih.

"aku syak mak cik dewan makan tu letak ubat tidur la dalam ayam masak merah tadi. tu yang Keno terus tido mati tu. Aku pun dah rasa mengantuk gila ni." Faezah (Eja) yang masuk ke dorm bersama-sama Sina tadi bersila menghadap ke kipas dinding yang di setkan dengan kelajuan maksimum. Baju sekolahnya sudah lama ditukar kepada baju tee dan kain batik.

"Tak elok tidur lepas makan ni, Eja. Makanan yang kita makan tadi tak sempat diproses dan dihadam dengan sempurna. Nanti jadi penyakit pulak." Sina menasihati sahabatnya supaya tidak terikut perangai Keno yang kerap tidur selepas makan. Eja hanya memerhati Sina yang sedang berjalan menuju ke pintu dorm sambil membawa bakul alat mandi.

'Yes, Sina dah keluar bilik!' ujarnya di dalam hati lalu mengeluarkan telefon bimbit yang disorokkan di bawah tilam. Butang switch On ditekan maka keluarlah logo Nokia connecting people.

***

Azan zuhur pertama sudah berkumandang dari masjid sekolah. Jemaah muslimin sudah sedia memenuhi ruang masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Masih ada yang berlengah-lengah di bilik sementara menunggu khatib bersedia memberikan khutbah. Jarak yang dekat di antara masjid dan asrama memudah kan pelajar-pelajar muslimin dan muslimat mendengar bait-bait khutbah yang disampaikan di setiap penghulu hari yang mulia.

Semburan minyak wangi menerobosi hidung Badrul (Bad). Matanya menjeling ke arah rakannya, Firdaus (Pod) yang sedang melaram di hadapan cermin. Nak pergi solat je pun, buat apa hensem wangi-wangi macam ni?

"Bad, aku gerak dulu. kau jangan lambat. Nanti ustaz Ashraf hambat kau macam hari tu." usai memakai kopiah, Pod mengejutkan Bad yang disangkanya sedang lena.

"Ye ye aku tau. Bagi aku lelap 5 minit lagi. Nanti aku gerak lah."

"Khutbah tu sebahagian daripada syarat sah solat jumaat. jangan ambil mudah je. Nanti tak sempurna pahala solat jumaat kita" Firdaus masih setia menunggu Bad bangun dari pembaringannya.

"iye aku tau.. Pod, kau blah cepat boleh tak? semak."

Firdaus menggeleng lemah. Tidak tahu apa yang harus dinasihati dengan sahabatnya yang sudah dikenali selama 5 tahun ini. Perangai tidak pernah berubah. Kalau di sekolah, Badrul merupakan pelajar yang terkenal sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik dan sukan. Malah diminati oleh ramai pelajar perempuan. Namun di asrama, begitu sahaja sikapnya. Firdaus sudah lali.

Langkahnya diatur ke masjid. Kedengaran dari jauh enjin kereta Mazda biru menghampiri kawasan asrama lelaki. 'Ustaz Asyraf nak buat spot-check lagi minggu ni. Bad, aku harap kau bangun sekarang.'

"Assalamualaikum ustaz" ujar Pod sambil berpapasan dengan ketua warden yang garangnya mengalahkan pengetua sekolah itu.

'Habislah kau Bad!' Matanya terpandang rotan buluh panjang yang dipegang ustaz.

***

Ding. Ding. Ding.

'Perhatian kepada semua pelajar aspuri yang boleh bersolat, anda diminta untuk turun ke musolla untuk solat zohor berjemaah dan tazkirah. Sekian terima kasih.' Pengumuman itu dilaungkan oleh Kak Fatimah, Ketua pelajar di asrama puteri. Perwatakannya pelajar tingkatan 5 yang tegas itu lantas diikuti oleh pelajar-pelajar lain terutama junior tingkatan 1 dan 2. Sesi tazkirah pula dikendalikan oleh Kak Liana, naib pengerusi Badan Dakwah dan Rohani.

"Keno, dalam banyak-banyak tempat kat dunia ni, mana satu yang kau nak pergi sangat-sangat?." Ejai meletakkan bantal di tepi bantal Sakeena dan menolak sedikit tubuh Keno. Keno faham lalu bergerak ke tepi sedikit untuk memberi ruang kepada Eja. Mujur sahaja tubuhnya kecil.

"Aku? aku kalau boleh nak simpan duit banyak-banyak dan tempat first sekali aku nak jejak ialah Mekah dan Madinah. Aku nak bawak abi dan umi aku buat umrah kat situ." Keno tersenyum sambil terbayang wajah abi dan uminya di kampung halaman. apalah agaknya mereka berdua sedang laukan? sudah makan tengahari kah?

"Nah duit untuk kau. Esok lusa kau boleh pergi sana."Eja menghulurkan sekeping cek berlogo harimau hitam.

"Wow RM20 ribu? mana kau dapat ni? Tapi eja...aku rasa belum bersedia lah nak jadi tetamu Allah lagi." Keno menghulurkan kembali cek tersebut namun tidak disambut oleh Eja.

"lah tadi kau kemain semangat nak pergi. ni ada peluang kenapa tak nak pergi?"

"aku ni banyak sangat dosa dengan Allah. Solat pun tak terjaga. Malu lah nak jumpa Allah."

"Habis tu bila nak bertaubat?" Suara Sina mengejutkan mereka berdua. Sina berdiri di muka pintu dengan wajahnya basah dengan wudhu' yang diambilnya tadi. Keno dan Eja masing-masing mengangkat tubuh ke posisi duduk.

"bila Keno?" Sina bertanya lagi. Kali ini lebih kuat. Hati Keno berdetak kuat seakan tubuhnya terkena renjatan elektrik.

matanya terbuka luas. Kelihatan wajah Sina tepat di hadapan pandangannya. Sina berkerut dan akhirnya dia tersenyum.

"Keno...Keno.. ni yang aku malas nak kejut kau ni. Mesti bangun terkejut. Aku sentuh kau perlahan tadi, tapi aku sendiri yang ikut terkejut tengok kau bangun."

'apa yang kau cakap merepek ni Sina?' Keno melihat jam tangannya yang menunjukkan pukul 2.00 petang. Kelas prep sepatutnya bermula pukul 3 petang. Dia duduk dan menanggalkan tudungnya yang sudah berkedut seribu lalu disidai sahaja di bucu katil. 'alah nanti boleh iron balik'. Matanya dipisat-pisat sambil melihat sesuatu.

"Eh, korang nak pergi mana? Baru pukul 2." Keno duduk. Wajahnya sembam. Hanya Sina dan Eja sahaja yang tahu betapa serabainya wajahnya selepas bangun tidur.

"Kitorang nak tolong Cikgu Nuha hias pentas dewan untuk sambutan hari guru. Kalau kau nak tolong sekali nanti datang lah dewan ye." Sina duduk sambil menyarung stokin putih.

"tapi kan pukul 3 ada kelas tambahan Geo." Keno masih tidak faham.

"Keno, masa yang Allah bagi ni singkat dan kita kena gunakan sebaiknya. Kalau tak dapat buat kerja di dewan pukul 3, maka kita kenalah buat awal. pukul 2 contohnya." Eja tersengih memandang Keno. Mamai lagi agaknya si Keno ni.

"Eh kau cakap bukan main pandai kan..tak nak aku jumpa si Nuha tu. Ko tahu kan tadi aku kena marah dengan dia sebab tak siap folio kerja kursus Sejarah." Keno geram melihat Eja yang suka acah-acah baik di depan Sina.

"Keno, cepat solat zohor dan jangan lewat ke kelas. Kat luar dah gelap macam nak hujan tu. Kalau nak payung ada kat tepi pintu tu." Sina menutup pintu bilik A3-02 perlahan.

"okay..okay." Keno menghantar Sina dan Eja keluar dengan pandangan kosong. 'Huaarrhhhh... malasnya nak pergi kelas! dahlah hujan best betul tidur!.' Keno membaringkan tubuhnya semula diatas katil dan membaluti tubuhnya dengan comforter pink. 'pukul 2.30 nanti aku bangun, solat dan bersiap' ujarnya dalam hati sambil terlena di alam mimpi.

****

Bersambung...

Watak:
Keno/Sakeenah tingkatan 3
Sina/Hasina  tingkatan 3
Eja/Faezah  tingkatan 3
Kak Fatimah  tingkatan 5
Kak Liana  tingkatan 5

Bad/ Badrul tingkatan 5
Pod/ Firdaus tingkatan 5

Ustaz Asyraf / guru agama/ ketua warden
Cikgu Nuha/ guru sejarah/ warden
Cikgu Karim/ guru geo

Nota kaki: Kisah ini diadaptasi daripada pengalaman penulis sendiri dan diubahsuai supaya nama dan watak yang digunakan tidak terkait dengan mana-mana pihak sama ada yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

No comments: