Alhamdulillah ini tahun kedua aku menyambut tarikh istimewa 16 Mei iaitu Hari Guru. Tahun lepas sebagai guru praktikal dan tahun ini pula sebagai guru asasi di IPTA. Tak pernah aku menyangka perjalananku dipermudahkan sebegini tetapi segala nikmat dan kesyukuranku adalah milik Nya. Pada tarikh ini juga rakan-rakan seperjuangan ku sedang ditemuduga di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, maka aku ucapkan selamat maju jaya kepada mereka.
.
Mengapa tarikh ini begitu istimewa di hati seorang guru? adakah kerana mereka bakal dilimpahi hadiah oleh anak murid? adakah kerana hari ini guru tidak perlu mengajar dan diraikan?
.
Tidak. Realiti sebenar jika di sekolah adalah guru sendiri yang merancang dan menguruskan sambutan hari guru (dibantu oleh para pelajar). Meskipun tidak masuk ke kelas pada hari tersebut tetapi guru masih perlu menghabiskan silibus pelajaran yang berbaki. Kerja-kerja lain masih banyak menunggu untuk dilunaskan. Tetapi pada hari ini, saya boleh katakan sebagai seorang guru, adalah hari untuk menghargai diri sendiri (self-appreciation). Tak perlu hadiah emas permata, tak perlu persembahan hebat, dan tanpa ucapan pun, seorang guru pasti akan merasa istimewa pada tanggal 16 Mei ini.
.
Jika di IPTA pula, tiada sambutan yang diadakan. Cuma ucapan khas dari rakan-rakan sejawatan dan ada juga anak murid dan bekas pelajar yang masih mengingati guru-guru mereka, Tetapi tarikh itu tetap istimewa.
.
Pagi ini aku mengenakan busana indah, dan tercalit senyuman ku dari awal lagi seolah-olah di hari raya. Aku sendiri merasa aneh, padahal tiada pun sambutan hari guru di sini, tetapi aku bersiap bagaikan nak meraikannya. Tak apalah, cukuplah aku sendiri menghargai usaha aku dalam bergelar seorang guru. Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Untuk dipanggil cikgu oleh anak murid bukannya mudah. Sebelum bergelar guru, perlu menjalani ujian psikometrik, temuduga kemudian menghabiskan 4 tahun ijazah sarjana muda dengan pelbagai cabaran, latihan mengajar dan praktikum, kemudian temuduga lagi sekali. Apabila masuk ke alam pekerjaan dan perlu menghadapi seribu satu perangai anak murid, itulah cabaran terbesar sekali. Kerja hakiki seorang guru benarlah mendidik anak bangsa, tetapi selain itu guru juga perlu mengorbankan masa dan tenaga untuk tugas-tugas lain seperti menganjurkan program, menghadiri kursus2, menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mencapai KPI setiap tahun, menguruskan fail-fail pengajaran dan sebagainya.
.
Sebab itulah apabila aku telah bergelar seorang guru, baru aku mengerti erti kepayahan guru-guruku yang dahulu. Mereka sangat hebat di mata dan jiwaku. Dan sudah tentu lah guru paling hebat bagi aku adalah ibu bapaku sendiri yang mengajar ku berjalan, bercakap dan berdikari. Guru terhebat bagi umat manusia pula ialah Nabi kita, Rasulullah S.A.W yang teladannya dikagumi manusia sejak berzaman lagi.
.
Anda juga adalah guru kepada diri anda sendiri. disaat lemah dan rasa ingin putus asa, kita sendiri lah yang cuba mendidik hati kita untuk terus bersabar dan berusaha. dan jika anda berjaya anda sudah cukup hebat!
Selamat Hari Guru!
No comments:
Post a Comment