Friday, 20 May 2016

Pelajar universiti bantah caj kotak RM15? Ini komen dari staf pengurusan kolej sendiri

"Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain."

Ya, tidak mudah untuk kita memuaskan hati semua pihak. Semua orang pasti pernah melalui situasi di mana terdapat pelbagai perbezaan pendapat dan sukar untuk kita membuat keputusan.

Aku merujuk kepada suatu artikel dari akhbar web 'free malaysia today' sebagai contoh pada situasi ini. Artikel bertajuk "Caj kotak RM15, ibu bapa mahasiswa kecam UniMAP" yang ditulis oleh Faiz Zainudin pada 18 May 2016. [LINK]

Jika aku masih seorang pelajar, mungkin aku akan menyokong situasi ini dengan hujah sebagai seorang pelajar kami sangat SENSITIF dengan isu DUIT. Kami akan membantah sekiranya terdapat sebarang kenaikan perbelanjaan dalam situasi ekonomi mencabar ini. Kebanyakan duit kami diperlukan untuk makan minum, buku dan alat tulis, tambah nilai kad prabayar dan sebagainya. Kami akan merasakan bahawa pihak pengurusan hanya memikirkan keuntungan sendiri tanpa memikirkan perbelanjaan kami,

Namun kini aku merupakan sebahagian warga yang menguruskan penginapan pelajar, maka aku memandang situasi ini dari sudut yang berbeza. Solusi ini tidak akan berlaku jika tiada aduan dari pihak pelajar. Ya, anda perlu faham. Saban tahun kami menerima pelbagai aduan daripada pelajar dan kami perlu memikirkan solusi kepada setiap masalah. Tak kan lah kami hanya mahu duduk diam dan makan gaji buta sahaja. 

Aduan 1. Pelajar mengadu bahawa barang yang disimpan di dalam stor berterabur, makan ruang, dan menyukarkan proses untuk menyimpan dan mengeluarkan barang setiap kali cuti sem.

Aduan 2. Pelajar mengadu barang mereka rosak/hilang disebabkan ramai pelajar yang menyimpan/memunggah barang secara sambil lewa.

Maka kami di pihak pengurusan memikirkan beberapa solusi secara bersama:

Cadangan 1. Pelajar tidak dibenarkan menyimpan barang ketika cuti sem. Namun kami memikirkan pula bagaimana pelajar-pelajar yang tinggal jauh dan mempunyai barang banyak. Beberapa senior menyatakan hal ini biasa ketika zaman mereka, 10 tahun dahulu, setiap kali cuti semester mereka perlu membawa semua barang balik bahkan ada yang menaiki bas ke destinasi yang jauh! kata mereka, walaupun bersusah payah namun mereka tidak sedikit pun mengeluh. Inilah dia perbezaan mentaliti pelajar dahulu dan pelajar kini. Pelajar dahulu sanggup belajar dalam keadaan susah payah sehingga berjaya, pelajar kini semuanya mahukan kemudahan untuk belajar namun ramai juga yang terkandas dalam pelajaran. malah ada yang menyalahkan pihak lain diatas kegagalan mereka. 

Cadangan 2. Pelajar perlu membayar/meningkatkan kadar sewa bilik stor. Namun itu tidak menjamin apa-apa dari segi kekemasan bilik, susun atur barang dan keselamatan barang pelajar. Ini apa yang aku alami ketika zaman belajar dahulu, ya barang bersepah di dalam bilik stor namun barang yang aku pernah hilang cuma penyapu dan penyodok sampah sahaja. 4 tahun belajar aku tidak pernah merungut langsung mengenai kadar sewa bilik stor kerana harga sewa tersebut lebih murah berbanding jika aku menyewa mengikut kadar harian.

Cadangan 3. Pelajar perlu membeli kotak khas yang disediakan untuk menyimpan barang. Pelajar perlu menyusun kotak tersebut dengan baik. Harga, kualiti dan saiz kotak tersebut mestilah bersesuaian. Kami tidak akan sewenang-weenangnya meletakkan harga kotak tersebut, namun ianya selepas kami menerima dan mengkaji quotation harga dari pihak pembekal. Mengapa kami perlu mengambil keuntungan jika pokok pangkal hal ini adalah untuk menyelesaikan masalah pelajar itu sendiri. Namun akan ada pelajar yang merasakan harga kotak itu sebagai suatu beban! 

Jujur aku bagitahu mewakili pihak pengurusan, kami tidak pernah memikirkan sebarang keuntungan dari pihak pelajar, ini kerana kami pernah menjadi seorang pelajar ketika dahulu dan kami tahu bagaimana mahal nya pendidikan sekarang. Apa jua solusi yang kami laksanakan, ianya adalah daripada hasil perbincangan setelah mendapat banyak aduan daripada pelajar itu sendiri. 

Oh ya, aku bukan pihak pengurusan kolej di UNIMAP, tetapi dari universiti lain. Aku juga pernah belajar di universiti lain. Maka mudah untuk aku beritahu bahawa kebanyakan pelajar universiti akan mengalami pengalaman yang hampir sama, namun yang membezakannya ialah 

1. Pelajar yang memandang hal ini dari sudut POSITIF. Mereka akan berbincang secara tertutup dahulu dengan pihak pengurusan dan membantu untuk mencadangkan jalan penyelesaian yang lebih baik sekiranya ada. Sekiranya mereka juga bersetuju ini salah satu jalan penyelesaian kepada masalah yang ada, mereka akan menerima dengan lapang dada.

2. Pelajar yang memandang hal ini dari sudut NEGATIF. Mereka hanya akan memikirkan situasi ini daripada sebelah pihak iaitu untuk kepentingan mereka sendiri. Ada yang akan menyuarakan pendapat dan menghentam secara terbuka melalui media sosial, ada yang akan membuat leporan terus kepada pihak atasan dengan harapan solusi ini tidak akan dilaksanakan kerana melibatkan duit mereka. kalau boleh mereka ini mahukan semuanya percuma.

Tepuk dada tanya diri anda sendiri. Siapakah anda?
Jadi ini hanyalah aduan mengenai BILIK STOR. Kalau aku ada masa, aku akan cerita pula aduan mengenai PARKING KOLEJ.

Monday, 16 May 2016

Selamat Hari Guru

Alhamdulillah ini tahun kedua aku menyambut tarikh istimewa 16 Mei iaitu Hari Guru. Tahun lepas sebagai guru praktikal dan tahun ini pula sebagai guru asasi di IPTA. Tak pernah aku menyangka perjalananku dipermudahkan sebegini tetapi segala nikmat dan kesyukuranku adalah milik Nya. Pada tarikh ini juga rakan-rakan seperjuangan ku sedang ditemuduga di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, maka aku ucapkan selamat maju jaya kepada mereka.
.
Mengapa tarikh ini begitu istimewa di hati seorang guru? adakah kerana mereka bakal dilimpahi hadiah oleh anak murid? adakah kerana hari ini guru tidak perlu mengajar dan diraikan?
.
Tidak. Realiti sebenar jika di sekolah adalah guru sendiri yang merancang dan menguruskan sambutan hari guru (dibantu oleh para pelajar). Meskipun tidak masuk ke kelas pada hari tersebut tetapi guru masih perlu menghabiskan silibus pelajaran yang berbaki. Kerja-kerja lain masih banyak menunggu untuk dilunaskan. Tetapi pada hari ini, saya boleh katakan sebagai seorang guru, adalah hari untuk menghargai diri sendiri (self-appreciation). Tak perlu hadiah emas permata, tak perlu persembahan hebat, dan tanpa ucapan pun, seorang guru pasti akan merasa istimewa pada tanggal 16 Mei ini.
.
Jika di IPTA pula, tiada sambutan yang diadakan. Cuma ucapan khas dari rakan-rakan sejawatan dan ada juga anak murid dan bekas pelajar yang masih mengingati guru-guru mereka, Tetapi tarikh itu tetap istimewa.
.
Pagi ini aku mengenakan busana indah, dan tercalit senyuman ku dari awal lagi seolah-olah di hari raya. Aku sendiri merasa aneh, padahal tiada pun sambutan hari guru di sini, tetapi aku bersiap bagaikan nak meraikannya. Tak apalah, cukuplah aku sendiri menghargai usaha aku dalam bergelar seorang guru. Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Untuk dipanggil cikgu oleh anak murid bukannya mudah. Sebelum bergelar guru, perlu menjalani ujian psikometrik, temuduga kemudian menghabiskan 4 tahun ijazah sarjana muda dengan pelbagai cabaran, latihan mengajar dan praktikum, kemudian temuduga lagi sekali. Apabila masuk ke alam pekerjaan dan perlu menghadapi seribu satu perangai anak murid, itulah cabaran terbesar sekali. Kerja hakiki seorang guru benarlah mendidik anak bangsa, tetapi selain itu guru juga perlu mengorbankan masa dan tenaga untuk tugas-tugas lain seperti menganjurkan program, menghadiri kursus2, menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mencapai KPI setiap tahun, menguruskan fail-fail pengajaran dan sebagainya.
.
Sebab itulah apabila aku telah bergelar seorang guru, baru aku mengerti erti kepayahan guru-guruku yang dahulu. Mereka sangat hebat di mata dan jiwaku. Dan sudah tentu lah guru paling hebat bagi aku adalah ibu bapaku sendiri yang mengajar ku berjalan, bercakap dan berdikari. Guru terhebat bagi umat manusia pula ialah Nabi kita, Rasulullah S.A.W yang teladannya dikagumi manusia sejak berzaman lagi.
.
Anda juga adalah guru kepada diri anda sendiri. disaat lemah dan rasa ingin putus asa, kita sendiri lah yang cuba mendidik hati kita untuk terus bersabar dan berusaha. dan jika anda berjaya anda sudah cukup hebat!
Selamat Hari Guru!