Tuesday, 2 January 2018

Semua orang boleh berazam, akan tetapi tidak semua boleh merancang dengan baik!

Assalamualaikum dan hai!

Selamat tahun baru 2018!

2017 telah melakar banyak peristiwa dalam hidup kita dan semestinya pelbagai cabaran yang akan mendatang pada 2018. Sudahkah anda bersedia? jika ya apa perancangan anda pada tahun baru ini? Azam? tidak. saya tidak mahu tahu itu. Azam itu mudah dibicara dengan perkataan, mudah dibayangkan dalam fikiran. Tapi apa yang saya mahu ialah perancangan.

Semua orang boleh berazam, akan tetapi tidak semua boleh merancang dengan baik!

Saya sudah menginjak usia 26 tahun (lagi 2 bulan 16 hari. er lebih kurang lah). Dan saya pasti ada impian yang saya ingin tunaikan sebelum berusia 30 tahun. Saya akan listkan IMPIAN UTAMA di sini ya:

1. Saya ingin memiliki sebuah RUMAH sendiri. Saya sedang dalam proses menyediakan 10% pendahuluan untuk rumah ini. Rumah ini bukanlah rumah idaman, kerana ianya rumah di atas angin, tetapi amat sesuai untuk saya jadikan pelaburan di masa hadapan kerana kedudukannya yang amat strategik! InshaAllah rumah idaman akan saya beli bersama-sama bakal suami nanti.

2. Saya ingin menghantar ibu ayah saya menunaikan HAJI! Alhamdulillah pada tahun 2016 saya telah bersama-sama mereka menunaikan umrah. dan doa saya di sana adalah semoga Allah permudahkan urusan saya untuk menghantar mereka menunaikan haji sementara mereka masih sihat walafiat dan bertenaga untuk beribadah. InshaAllah impian ini akan saya laksanakan dalam tempoh 3 tahun. Duit bukan masalah untuk saya, kerana saya membuat potongan gaji setiap bulan. Cuma saya harap surat permohonan rayuan untuk menunaikan haji pada tahun 2020 diluluskan. lebih awal lebih bagus!

3. Saya mahu ayah dan ibu saya berhenti kerja dan berehat sahaja di rumah, beribadah dan bersosial bersama rakan2 pencen mereka. Ayah ibu saya bekerja sendiri, dan ayah masih ada baki ansuran rumah yang perlu diselesaikan. InshaAllah saya akan cuba untuk membantu ayah saya menyelesaikan ansuran rumah beliau. i can do it! i believe i can! Allah akan bantu saya.

4. Saya ingin BERKAHWIN dengan lelaki pilihan saya sebelum berumur 30 tahun! saya tahu usia itu agak lewat bagi seorang perempuan melayu (taboo bagi masyarakat melayu di Malaysia). Tapi bagi saya, saya tidak mahu berkahwin kerana semua orang sudah berkahwin. Saya akan berkahwin bila tiba masanya, bila impian 1 dan 2 terlaksana. Jodoh itu inshaAllah ada, cuma masa saja yang akan menentukan. Saya perlu doa yang baik-baik dari semua.

5. Saya ingin menyambung pelajaran di peringkat MASTER dan inshaAllah sehingga PHD. Perjalanan saya masih jauh, dan saya harap selepas kahwin nanti bakal suami akan mengizinkan saya sambung belajar. Dan inshaAllah duit saya akan kumpul sedikit demi sedikit. Saya tidak mahu bergantung harap pada duit suami, suami saya ada tanggungjawab sendiri dan saya juga suka untuk berdikari.

6. MELANCONG? ini memang impian semua untuk kelilingi dunia. tetapi akan saya cuba untuk bataskan sementara waktu demi menunaikan impian2 yang lebih utama. Tetapi setahun sekali bercuti tiada salahnya bukan?

cukuplah 6 sahaja yang saya senaraikan di sini. yang utama sebenarnya no 1 - 4 sahaja. No 5 dan 6, saya sentiasa masukkan dalam bajet masa hadapan tetapi bergantung pada keadaan semasa.  kenapa? mari saya kongsikan bagaimana saya membuat bajet masa hadapan saya.

1. Target untuk berapa tahun. Saya target untuk 3 tahun. sebab ada impian yang saya nak capai pada tahun 2020.

2. Senaraikan pendapatan, komitmen, perbelanjaan, zakat, dan lain2. contoh saya punya;

Gaji + Elaun = RMXXXX
Komitmen  = RMXXXX
Ibu Ayah = RMXXX
Tabung Haji = RMXXX
Roadtax = RMXX
Perbelanjaan = RMXXX
Simpanan = RMXXX
Kecemasan = RMXXX
Shopping = RMXXX
dan lain-lain..........

saya listkan semua untuk 3 tahun dalam excel, kemudian print dan simpan didalam jurnal harian. mudah untuk saya buat rujukan di mana-mana.

3. Setiap kali gaji, sentiasa utamakan komitmen dan asingkan duit siap2 mengikut keperluan. Kena disiplin! Sebelum ini saya pernah berazam mahu berjimat cermat. tetapi oleh kerana tiada hitam puith, hanya dalam kepala sahaja, maka leburlah segala azam itu. Apatah lagi bila shopping laju je swipe kad debit. Cara saya tahun ini? senaraikan siap2 perancangan 2018. dan sentiasa rekodkan aliran keluar masuk duit supaya tidak terlebih berbelanja.

Gaji saya tinggi? tidak juga. Jangan fikir orang yang kaya berharta banyak wang, mereka hidup dengan tenang bahagia dan sejahtera. (tapi doakan lah saya kaya bahagia dan sejahtera.). Duit yang banyak datang dengan amanah yang besar, komitmen yang tinggi dan dugaan yang besar. macam saya, kerja dan gaji yang saya dapat ini berkat doa ibu bapa saya yang mengimpikan saya untuk membantu mereka di hari tua. Sudah tentu dengan izin Allah. Sebab itu fokus utama saya adalah ibu ayah. Jangan persoalkan kenapa saya tidak mahu berkahwin lagi. Ini bukan soal saya tiada siapa yang mahu, soalnya saya mahu fokus kepada keluarga saya terlebih dahulu. Saya masih ada dua orang adik yang masih belajar, jadi saya harap mereka dapat habis belajar, mendapat kerja yang bagus dan sama-sama membantu saya menjaga ayah ibu kelak.

Setiap orang ada 'struggle' masing-masing dalam hidup. Jangan membanding-bandingkan kehidupan orang lain dengan kehidupan kita. Allah dah atur rezeki kita. Syukur dan teruskan usaha.

Dan berbalik kepada persoalan utama. Azam dan perancangan. Azam tidak akan dicapai tanpa perancangan yang teliti dan jelas. Senarai kan azam impian matlamat yang anda ingin capai beserta dengan tempoh dan kaedahnya. Saya yakin saya boleh buat, dan anda juga pasti boleh!

Azam dunia kita buat, jangan lupa azam di akhirat. Semoga iman kita bertambah tambah selari dengan bertambahnya kejayaan kita. dan semoga kita sentiasa menunduk meskipun sudah berada di puncak tertinggi. 

"Tuhan jangan kau izin aku lupa Jangan kau biarkan aku mendepang dada Pasakkan hatiku pada kaki Pasakkan ku tunduk sehingga mati"
Fynn Jamal

Sekian sahaj perkongsian untuk hari ini. akan saya kongsikan beberapa cerita lagi di kemudian hari.
Assalamualaikum. Bye.